Wednesday, November 18, 2009

AS rampas 4 masjid kelolaan Iran


GAMBAR menunjukkan pintu masuk ke bangunan Piaget setinggi 36 tingkat yang akan dirampas oleh pentadbiran persekutuan Amerika Syarikat (AS) di New York.


NEW YORK - Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengemukakan permohonan untuk merampas empat buah masjid dan sebuah bangunan pencakar langit 36 tingkat di sini daripada sebuah kumpulan kebajikan yang didakwa dikawal kerajaan Iran.

Menurut Peguam Daerah Selatan New York, Preet Bharara, pertubuhan itu yang dikenali sebagai Yayasan Alavi dituduh menyalurkan sejumlah dana kepada kerajaan Iran.

Bharara memfailkan aduan sivil di sebuah mahkamah persekutuan di sini untuk membatalkan sejumlah akaun bank milik yayasan tersebut.

Sebuah syarikat perantara, bangunan pejabat, hartanah di Virginia dan pusat Islam di negeri Maryland, Texas serta di California turut dirampas.

Sebanyak lapan hartanah dan sembilan akaun bank terbabit disenaraikan dalam permohonan itu.


PELAJAR-PELAJAR tiba di sekolah Ravi yang dikaitkan dengan rampasan aset Yayasan Alavi oleh pentadbiran persekutuan Amerika Syarikat di New York kelmarin.


Dalam aduan setebal 97 muka surat itu, para pendakwa raya AS mendakwa beberapa pegawai kanan Iran termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tahmasb Mazaheri dan duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbabit dalam urusan perniagaan yayasan tersebut.

"Yayasan Alavi secara aktif menjadi 'kenderaan' untuk kerajaan Iran (melakukan usaha perniagaan setelah dikenakan sekatan ekonomi)," kata Bharara dalam satu kenyataan.

Tindakan itu dijangka akan meningkatkan ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dengan Iran.

Iran sebelum ini didakwa membiayai kumpulan pengganas dan berusaha untuk menghasilkan bom nuklear dengan berselindung di sebalik program janakuasa elektrik.

Presiden AS, Barack Obama pernah memberitahu Kongres kelmarin bahawa hubungan negara tersebut dengan Iran masih belum pulih. - AFP

2 comments:

anamusafir87 said...

salam ziarah insan kerdil . saya pon kerdil jugak ;-D. hehe

insan_kerdil said...

ahlan2...

erm...mgkn x sekerdil sya...

syukran sudi m'ziarah..

salam ukhuwah :)..