Thursday, October 15, 2009

Asam garam kehidupan

Kehidupan adalah perjalanan memilih pelbagai pilihan. Justeru, kebolehan membuat keputusan adalah suatu yang penting demi memastikan kehidupan berada pada landasan yang betul. Keputusan yang tepat memberikan kepuasan kepada diri sendiri dan pihak yang lain turut terlibat. Namun begitu, adakalanya berlaku juga kesilapan dalam membuat keputusan. Hal inilah yang membimbangkan kita.

Ramai antara kita yang takut dalam membuat keputusan kerana takut tersilap. Ada yang tidak dapat menerima kesilapan sehingga tidak dapat bertindak dan sanggup membunuh diri. Yang penting berani mencuba dan berani menerima kegagalan. Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kerana jangkauan akal kita adalah terhad.

Kesilapan harus diterima sebagai panduan kehidupan. Terimalah kesilapan secara positif dan hati terbuka demi keharmonian dalam kehidupan. Resam Melayu mengatakan kehidupan dilalui dengan 'asam garam', iaitu adakalanya masam dan masin yang menggambarkan bahawa kehidupan ini dilalui dengan pelbagai pengalaman yang akhirnya menjadikan kehidupan semakin lengkap.

No comments: