Monday, March 14, 2011

Kisah Penjual Tempe




Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidupnya. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.



Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, ia separuh matang. Biasaannya tempe beliau telah matang sebelum dia bertolak ke pasar. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang semuanya masih belum matang lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih kerana tempenya masih belum menjadi, sudah pasti ia tidak dapat dijual dan tiadalah rezekinya pada hari itu.

Dalam keadaan yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan  bahwa tiada yang mustahil bagi Allah. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin". Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika kerana kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soya ini kepada tempe, Amin". Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!

Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah dipenuhi dengan ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun karena keyakinannya yg sangat tinggi dia memutuskan untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.

Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan perjalanannya ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi dalam perjalanannya kepasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju kepasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini.Amin".

Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia merasakan Allah tidak adil. Allah tidak kasihan padanya, kerana inilah satu-satunya sumber rezekinya, hasil jualan tempe.

Dia akhirnya cuma duduk saja tanpa mepamerkan barang jualannya kerana dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang separuh matang itu. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mula sepi, para pembeli sudah mula berkurangan. Dia melihat-lihat kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahwa hari ini dia tidak mempunyai hasil jualan ylangsung. Namun jauh disudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan mendapat sebarang pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita."Maaf ya, saya ingin bertanya, Mak cik ada menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum jumpa."Dia terkejut dan terkedu seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun dia menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "YA Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti sediakala, Amin". Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah terkejutnya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi!

Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya kepada wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahwa anaknya yang kini berada di luar negara ingin makan tempe dari desa. Oleh kerana itu tempe itu akan diposkan ke England, si ibu tadi membeli tempe yang belum menjadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau diposkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak enak lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun menyedari bahawa doanya sudah dimakbulkan oleh Allah...


MORAL DARI KISAH DIATAS:

1: Sahabat-sabahatku sekalian... belum tentu apa yang kita suka itu terbaik untuk kita dan belum tentu apa yang kita benci itu adalah terburuk untuk kita padahal sesungguhnya Allah s.w.t itulah yang Maha Mengetahui.
Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah s.w.t maka dijadikan baginya jalan keluar dan diberikan rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Tiada yang mustahil bagi Allah s.w.t.
2:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagaihambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.


3 : Tiada yang mustahil bagi Allah

No comments: