Wednesday, October 28, 2009

PM Thai timbang beri autonomi di selatan Thai


BEBERAPA anggota polis memeriksa lokasi serangan letupan bom di sebuah landasan kereta api di wilayah Yala semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam secara terbuka menyambut baik saranan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kuasa autonomi dilaksanakan di wilayah majoriti penduduk Islam di selatan Thai yang bergolak sejak Januari 2004.

Menurut Abhisit, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan lebih mendalam semasa Najib melawat Thailand pada Disember ini.

"Ia satu langkah baik. Kerajaan saya berusaha untuk menghasilkan cadangan itu," kata Abhisit.

Najib ketika diwawancara akhbar The Nation yang disiarkan kelmarin mengesyorkan Bangkok memberi 'satu bentuk autonomi' kepada wilayah itu setelah lebih 3,900 penduduk mati akibat serangan gerila pemisah.

Jurucakap kerajaan Thailand, Panitan Wattanayagorn berkata, perdana menteri Malaysia itu mengakui keganasan di wilayah selatan itu merupakan hal ehwal dalaman negara Thai.

Menurutnya, Najib berikrar akan bekerjasama dengan Thailand untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, seorang askar cedera apabila sebutir bom yang disembunyikan di landasan kereta api di wilayah Yala diletupkan menerusi alat kawalan jauh semalam.

Namun, menurut polis, perkhidmatan kereta api akan diteruskan selepas siasatan di tempat kejadian. - AFP

~ petikan dari kosmo

p/s : semoga segala urusan utk membantu saudara kita disana dipermudahkan..

No comments: